Thursday, July 26, 2007

Sosiolinguistik


TUGASAN SATU

1)Bezakan ilmu sosiolinguistik dengan sosiologi bahasa.

Ilmu sosiolinguistik merupakan bidang ilmu yang mengkaji kesan masyarakat terhadap bahasa. Manakala, sosiologi bahasa pula merupakan bidang yang mengkaji kesan bahasa terhadap masyarakat. Kesan-kesan tersebut terdiri daripada pelbagai aspek seperti aspek nilai, norma masyarakat dan suasana yang wujud.

2)Apakah aspek yang dikaji dalam sosiolinguistik?

Dalam ilmu sosiolinguistik, aspek yang terangkum dalam bidang kajiannya terdiri daripada kajian berkaitan dengan struktur pembicaraan dan interaksi yang berlaku dalam pelbagai keadaan seperti bergurau, berbual kosong dan sebagainya. Selain itu, ilmu sosiolinguistik turut mengkaji bagaimana norma-norma dan nilai-nilai sosial dapat mempengaruhi perilaku linguistic, mengkaji hubungan variasi dan neka bahasa dengan kerangka sosial para penuturnya. Ilmu sosiolinguistik juga mengkaji unsur-unsur bahasa yang digunakan dalam bidang politik dan mengkaji aspek-aspek sosial dalam bilingualisme dan multilingualisme.
3)Apakah dimensi sosiolingustik yang dinyatakan oleh Dittmar?

Terdapat tujuh dimensi sosiolinguistik yang dinyatakan oleh Dittmar. Dimensi-dimensi tersebut ialah, identiti sosial penutur, identitas sosial pendengar yang terlibat dalam proses komunikasi, lingkungan sosial tempat peristiwa ujaran terjadi, analisis sinkronik dan diakronik terhadap dialek-dialek sosial, penilaian sosial yang berbeza oleh penutur akan bentuk-bentuk perilaku ujaran, tingkatan neka atau ragam linguistic dan akhir sekali ialah penerapan praktikal daripada penyelidikan sosiolinguistik.

TUGASAN DUA

1)Apakah maksud bahasa sebagai alat komunikasi?

Bahasa sebagai alat komunikasi boleh diertikan sebagai sesuatu yang digunakan untuk berhubung. Bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yang digunakan sebagai alat perhubungan antara seorang individu dengan individu yang lain. Manusia tidak boleh hidup tanpa berkomunikasi. Hal ini demikian kerana, komunikasi merupakan asas keperluan dalam kehidupan manusia sebagaimana keperluan-keperluan manusia yang lain seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian. Melalui bahasa seseorang individu itu dapat berhubung atau menyampaikan sesuatu mesej. Mesej adalah idea dan perasaan yang disampaikan oleh seseorang individu kepada individu lain ketika berkomunikasi. Mesej mengandungi simbol-simbol verbal dan bukan verbal. Simbol verbal adalah perkataan iaitu bahasa. Oleh itu, dalam mesej itu terdapat bahasa yang digunakan ketika berhubung ataupun berkomunikasi. Dapat disimpulkan bahawa, bahasa berperanan sebagai alat dalam berkomunikasi.

2)Apa maksud bahasa itu bersifat manusiawi?

Manusia berkomunikasi dengan bahasa dan manusia mempunyai sistem bahasanya yang tersendiri. Namun, tidak dinafikan bahawa haiwan juga berkomunikasi dan mempunyai sistem bunyinya yang tersendiri, tetapi tidak sama sepertimana manusia kerana komunikasi haiwan tidak terdiri daripada perkataan-perkataan sebagaimana manusia sebaliknya terdiri daripada bunyi-bunyi yang dikeluarkan mengikut jenis haiwan tersebut. Oleh itu, haiwan tidak mempunyai bahasa kerana bahasa terdiri daripada perkataan. Hanya manusia yang mempunyai bahasa. Apa yang dikatakan sebagai bahasa itu bersifat manusiawi ialah bahasa terhasil daripada sifat manusia yang bertanggungjawab untuk menjana dan membentuk bahasa dan antara sifat tersebut ialah kreatif. Sifat kreatif manusia menghasilkan ungkapan-ungkapan tersendiri. Daripada kreativiti tersebut manusia menjana atau membentuk perkatan-perkataan. Daripada perkataan-perkataan tersebut, dibentuk pula jumlah frasa dan seterusnya susunan ayat yang banyak. Oleh itu, boleh dikatakan bahasa bersifat manusiawi kerana bahasa itu terhasil daripada sifat manusia itu sendiri. Sifat kreatif yang ada pada manusia menghasilkan bahasa yang tersusun dan indah. Sifat ini tidak terdapat pada haiwan. Oleh itu, inilah yang dikatakan bahasa itu bersifat manusiawi.

3)Apa maksud bahasa itu boleh dipelajari?

Bahasa boleh dipelajari. Ini terbukti apabila manusia yang dilahirkan daripada tidak tahu untuk bercakap dan berkomunikasi, kemudiannya boleh bercakap dan berkomunikasi dengan sendirinya. Kanak-kanak juga dapat berbahasa dengan sendirinya hasil daripada pengaruh persekitaran di sekelilingnya. Selain itu, manusia mempunyai satu sifat penting sebagai makhluk sosial iaitu sifat perkongsian. Amalan berkongsi satu sistem komunikasi yang dinamakan bahasa itu secara tidak langsung membuatkan bahasa itu boleh dipelajari. Malah, dalam proses menghasilkan keturunan dari zaman ke zaman, manusia juga turut menurunkan bahasanya iaitu melalui keturunannya itu. Oleh itu, bahasa itu boleh dipelajari dan boleh diajarkan iaitu bahasa manusia boleh dipindahkan. Bahasa dipelajari melalui pendedahan seseorang individu itu terhadap sesuatu bahasa. Faktor persekitaran, masyarakat dan budaya sekeliling membantu manusia mempelajari bahasa, walaupun berada di luar sekolah. Dengan itu, jelaslah bahawa, bahasa itu boleh dipelajari.

4)Apa maksud bahasa itu bersistem?

Bahasa itu bersistem bermaksud bahasa itu mempunyai struktur dan fungsi tersendiri. Struktur terdiri daripada sesuatu yang dapat dituliskan, manakala fungsi merupakan makna perkataan itu. Apabila disebut bersistem, ini bermaksud bahawa bahasa itu mempunyai susun aturnya dan fungsinya yang tersendiri. Bahasa bersistem boleh diertikan sebagai bahasa yang dipersetujui penggunaannya oleh majoriti masyarakat yang menggunakan bahasa tersebut iaitu mempersetujui peraturan penggunaan sesuatu bahasa yang digunakan. Persetujuan tersebut melahirkan keselarasan dalam penggunaan sesuatu bahasa itu. Maka, itulah yang dimaksudkan sebagai bahasa itu bersistem. Sistem yang digubal oleh golongan masyarakat itu sendiri dan bukannya oleh mana-mana lembaga atau jawatankuasa seperti menggubal undang-undang negara.

5)Apa maksud bahasa itu dizahirkan secara voluntari?

Bahasa dizahirkan secara voluntari bermaksud bahasa itu dinyatakan secara kebetulan dan masyarakat menyetujuinya serta menggunakannya. Sebagai contoh, kita boleh lihat orang menggunakan perkataan bagi melambangkan sesuatu perkara seperti perkataan burung. Perkataan tersebut hanya ditujukan khas untuk binatang yang mempunyai sayap dan boleh terbang di udara. Perkataan ini secara kebetulan sahaja digunakan untuk melambangkan perkara tersebut dan orang lain turut berbuat demikian.

6)Apa maksud bahasa itu terdiri daripada simbol-simbol?

Bahasa terdiri daripada simbol-simbol bermaksud bahasa itu terdiri daripada simbol yang bermakna. Simbol-simbol bahasa ini digunakan dalam komunikasi antara individu. Sistem simbol yang terdapat dalam bahasa membantu manusia untuk mengungkapkan sesuatu dengan menggunakan simbol-simbol tersebut. Simbol-simbol itu kemudiannya, akan diterjemah mengikut pengalaman kita sendiri atau mengikut kefahaman masing-masing. Dengan adanya sistem simbol dalam sesuatu bahasa, manusia boleh menganalisis dan memahami sesuatu komunikasi. Selain itu, melalui sistem simbol ini, sesuatu bahasa itu dikatakan bermakna dan boleh digunakan dalam komunikasi sesama manusia.

TUGASAN TIGA

1)Apakah yang dikatakan komunikasi?

Komunikasi ialah proses informasi yang berlaku antara individu melalui penggunaan system simbol, tanda atau tingkah laku umum. Proses komunikasi melibatkan tiga aspek penting iaitu, pihak yang berkomunikasi, mesej yang dikomunikasikan dan alat komunikasi.

2)Apa berlaku sekiranya tidak ada bahasa?

Bahasa merupakan alat komunikasi. Oleh itu, bahasa merupakan aspek penting yang perlu ada dalam proses komunikasi. Namun, tanpa bahasa juga manusia boleh berkomunikasi. Hal ini demikian kerana, tingkah laku manusia boleh digunakan untuk berkomunikasi kerana tingkah laku manusia itu membawa informasi dan menjadi sarana berkomunikasi. Dengan ini, dapat disimpulkan bahawa, sekiranya tiada bahasa, manusia masih boleh berkomunikasi.

3)Apa yang terlibat dalam komunikasi?

Terdapat tiga perkara yang terlibat dalam komunikasi. Tiga perkara tersebut ialah pihak yang berkomunikasi, informasi yang dikomunikasikan dan alat komunikasi. Sebarang proses komunikasi yang berlaku pasti melibatkan ketiga-tiga perkara tersebut. Pihak yang berkomunikasi ialah mereka yang bertindak sebagai penutur mahupun pendengar. Dengan adanya penutur dan pendengar, barulah proses komunikasi dapat berlangsung. Informasi yang dikomunikasikan bermaksud mesej yang disampaikan atau yang diterima. Mesej merupakan kandungan komunikasi. Mesej terbahagi kepada mesej lisan dan bukan lisan. Mesej lisan ialah sebarang komunikasi yang diucapkan dengan menggunakan kata-kata. Manakala mesej bukan lisan ialah sebarang komunikasi yang kita buat tetapi tidak melalui kata-kata seperti gerak-geri, mimik muka dan pakaian. Seterusnya alat komunikasi, iaitu sesuatu cara yang kita gunakan untuk menghantar mesej sama ada dengan menggunakan suara, tulisan atau telefon. Sebagai contoh, sekiranya berlaku berkomunikasi antara dua individu, alat komunikasi yang terlibat ialah suara, telinga, mata dan deria sentuh.

4) Apa maksud fungsi bahasa sebagai menyatakan fikiran?

Pendekatan tradisional menyatakan fungsi bahasa sebagai komunikasi fikiran. Fungsi bahasa sebagai menyatakan fikiran bermaksud bahasa itu hasil daripada fikiran yang merangkumi pendapat, penilaian dan persepsi. Hal ini demikian kerana, fikiran adalah sebahagian daripada informasi yang disampaikan dalam proses komunikasi.

5) Apa lagi yang dikomunikasikan secara bukan lisan?

Komunikasi secara bukan lisan termasuklah bermonolog iaitu berkomunikasi dengan diri sendiri, tingkah laku manusia sama ada pergerakan tangan, badan atau kaki dan mimik muka.

6)Apa maksud penyataaan?

Pernyataan bermaksud kata-kata dan sebagainya yang menyatakan atau mengumumkan sesuatu, pemberitahuan ataupun permakluman. Oleh yang demikian, pernyataan boleh dikatakan sebagai sesuatu yang disampaikan sewaktu proses komunikasi atau mesej yang ingin dihantar semasa berkomunikasi.
7)Apakah yang dikatakan pernyataan benar dan pernyataan salah?
Pernyataan benar merupakan pernyataan yang betul dan benar berdasarkan konteks dan suasana yang dinyatakan. Hal ini dapat kita lihat berdasarkan contoh ayat berikut:
-Siti pulang ke kampong.
-Ibu menjahit baju kurung kakak.
Berdasarkan ayat di atas, pernyataan tersebut dianggap benar jika konteks ayat tersebut adalah berdasarkan suasana dan situasi yang berlaku. Ayat kedua sebagai contoh dianggap benar jika pernyataan yang dikemukakan adalah sama dengan situasi yang ingin dinyatakan iaitu baju yang dijahit adalah baju kurung.
Manakala, pernyataan salah merupakan pernyataan yang tidak sesuai dengan suasana ataupun situasi yang dinyatakan. Oleh itu, pernyataan yang diungkapkan adalah bertentangan dengan situasi sebenar.
Contoh ayat:
-Mengapa kakak menyanyi?
-Wah, hebatnya!
Berdasarkan contoh di atas, pernyataan tersebut dianggap salah jika situasi yang diujarkan adalah bertentangan dengan makna pernyataan yang dinyatakan. Ayat pertama contohlnya dianggap pernyataan salah sekiranya kakak pada waktu itu tidak menyanyi. Ini bermakna pernyataan yang disampaikan tidak benar.

9) Apa kekurangan mendefinisikan makna sebagai pernyataan benar dan pernyataan salah?
Kekurangan dalam mendefinisikan makna sebagai pernyataan benar dan pernyataan salah wujud di antara seorang penutur dengan seorang penutur yang lain. Hal ini kerana, setiap penutur mempunyai peraturan yang tersendiri dan ini berbeza dengan masyarakat yang lain di sekelilingnya. Selain itu, ayat juga berbeza antara satu bahasa dengan bahasa yang lain. Sebagai contoh, dalam bahasa Latin, kata kerja selalunya terletak pada posisi akhir ayat, manakala dalam bahasa Perancis, kata sifat diletakkan selepas kata benda sama sepertimana dalam bahasa Melayu.

TUGASAN EMPAT

1)Apakah yang dikatakan komunikasi bukan lisan?

Istilah lain yang sama dengan istilah komunikasi bukan lisan ialah komunikasi nonverbal dan bahasa badan. Bahasa badan termasuklah perhubungan ruang dan jarak, orientasi masa, gerak-geri, roman muka, gerak mata, sentuhan, suara dan kadar kelajuan kita bercakap.

2)Jelaskan bagaimana proses komunikasi berlaku.

Proses komunikasi berlaku sekiranya wujud tiga perkara penting yang membolehkan komunikasi itu berlangsung. Tiga perkara tersebut ialah pihak yang berkomunikasi, informasi yang dikomunikasikan dan alat komunikasi. Pihak yang berkomunikasi yang dimaksudkan ialah penutur dan pendengar. Jika kedua-dua pihak ini wujud dalam satu-satu keadaan maka proses komunikasi dapat berlaku dengan baik. Sekiranya ada penutur dan pendengar, maka adalah isu atau mesej yang ingin dikomunikasikan. Mesej terdapat secara sengaja atau tidak sengaja. Mesej secara sengaja ialah sebarang percakapan yang kita lakukan kerana kita memang ingin berkomunikasi dengan orang lain. Manakala, mesej secara tidak sengaja ialah sesuatu yang kita ucapkan tanpa kita rancang. Seterusnya ialah alat komunikasi. Untuk memastikan proses komunikasi itu berlangsung, alat komunikasi diperlukan agar isu atau mesej tersebut dapat diutarakan. Alat komunikasi yang digunakan semasa proses komunikasi pada kebiasaannya ialah bahasa. Tidak dapat dinafikan penggunaan bahasa sangat berkesan dalam proses komunikasi apabila perkataan, isyarat dan tingkah laku saling mendukung dalam proses komunikasi.

3)Alat komunikasi dalam komunikasi bukan lisan itu apa?

Alat komunikasi dalam komunikasi bukan lisan melibatkan kinesiks, proksemiks dan sentuhan. Alat komunikasi yang terlibat dalam kinesiks ialah tembung mata, perubahan ekspresi roman, perubahan posisi kaki atau yang melibatkan tangan dan bahu. Alat komunikasi yang terlibat dalam proksemiks pula ialah ruang dan jarak. Tembung mata adalah kaedah penting dalam komunikasi bukan lisan. Umumnya, interaksi antara individu pasti bermula dengan saling berpandangan. Fungsi mata dalam komunikasi bukan lisan antaranya ialah bertujuan untuk mengawal tindak balas iaitu sama ada untuk bertanya atau untuk menunjukkan respon. Selain itu, fungsi mata dalam komunikasi bukan lisan bertujuan menyatakan emosi seperti rasa benci, tidak peduli dan berahi. Muka merupakan sebahagian daripada kinesiks. Dengan menggunakan muka sahaja tanpa bercakap, kita sudah boleh memberitahu apa perasaan yang kita rasa. Ruang dan jarak turut memainkan peranan dalam komunikasi bukan lisan. Jarak-jarak dan ruang ini berbeza mengikut keadaan sama ada komunikasi itu berlaku antara teman rapat, orang yang tidak dikenali atau antara orang yang berkedudukan lebih tinggi. Sentuhan juga merupakan sebahagian daripada alat komunikasi dalam komunikasi bukan lisan. Sentuhan dalam komunikasi bukan lisan dikira biasa sepertimana tembungan mata. Fungsi sentuhan dalam komunikasi bukan lisan antaranya ialah untuk menyampaikan emosi, mengawal, menunjukkan status, sentuhan sopan seperti bersalaman dan juga sebagai sentuhan tugas seperti jururawat yang menyentuh dahi pesakit untuk merasa suhu badannya.